Wednesday, October 25, 2006

MAKNA SEBENAR BIDA`AH:SATU PENJELASAN RAPI


memaparkan isi kandungan kitab Prinsip-Prinsip Tasawwuf Islam oleh Sheikh Abdul Hafiz Faraghli Ali Al-Qarani iaitu wakil Amanah Am Lajnah Tertinggi Dakwah Islamiah Universiti Al-Azhar ,Mesir

oleh Al-Sheikh Al-Hafiz Abu Al-Fadl Al-Siddiq Al-Ghumari [Ulama Ahli Sunnah-ASHA`IRAH].Buku ini telah disemak oleh Dato` Mufti Sheikh Hj. Mohd. Murtadza Hj. Ahmad sendiri serta Bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Hj. Md. Hashim Hj. Yahya dan YDP Persatuan Ulama Malaysia, Ustaz Haji Saleh Haji Ahmad.

1.al-Sya'rani mendefinasikan tasawwuf sebagai "ilmu yang terbit di dalam hati para wali apabila mereka mempraktikkan al-Quran dan as-Sunnah. Sebagaimana ilmu yang terbit daripada ulama'-ulama' fiqh, setiap amalan yang dilakukandengan panduan kedua-duanya akan menerbitkan pelbagai ilmu, adab-adab, rahsia-rahsia, dan hakikat yang tidak dapat diungkapkan secara lisan, dengan syarat jika amalan itu bebas daripada kecacatan dan kehendak-kehendak hawa nafsu." (al-Sya'rani, Tobaqat al Qubra, halaman 4).

2.Ma'ruf al-Karkhi mengatakan, "Tasawwuf ialah bergantung harap kepada Allah dan tidak kepada makhluk."

3.Menurut Abu Turab al-Nakhsyabi, "Sufi itu ialah seseorang yang tidak dikotori oleh sesuatu apapun malahan bersih daripada semua perkara."

4.Kata Sahl bin Abdullah al-Tustari, Sufi itu ialah seseorang yang bersih dari maksiat, sentiasa berfikir dan berpegang teguh dengan Allah tidak kepada manusia. Oleh yang demikian di sisinya tidak ada apa-apa perbezaan antara emas dan lumpur.

5.al-Jariri pula mengatakan, "Tasawwuf ialah berakhlak dengan akhlak yang tinggi dan meninggalkan perlakuan yang keji."

6.al-Nuri berkata, "Tasawwuf itu bukan tulisan atau ilmu tetapi tasawwuf itu adalah akhlak, kerana jika tassawuf itu tulisan, ianya boleh diperolehi dengan latihan, dan jika ia adalah ilmu, ianya boleh diperolehi dengan belajar, tetapi sebenarnya tasawwuf itu ialah berakhlak dengan akhlak-akhlak Allah (akhlak terpuji). Seseorang itu sama sekali tidak dapat berakhlak dengan aklak Illahi hanya melalui ilmu dan tulisan."

8. Syeikh Muhyiddin Ibn 'arabi menerangkan di dalam kitabnya al-Futuhat, "Sesungguhnya jalan untuk sampai kepada ilmu ahli sufi ialah iman dan taqwa."



12 Comments:

naqsabandiah said...

Matlamat Tasawwuf

1. Mengenal Allah dengan cara beribadah kepadaNya dengan cara bersungguh-sungguh dalam beribadah.

2.Pensucian, pembersihan dan peningkatan jiwa sehingga ia layak memperoleh ma'rifah Allah.

3.Membina masyarakat yang sejahtera dengan asas yang baik, akhlak yang mulia, berpegang dengan peraturan-peraturan agama dan jalan-jalan rahsia kesufian yang meningkatkan martabat pengamal.

naqsabandiah said...

Langkah-langkah Mencapai Ma'rifah

Ma'rifah itu tercapai dengan empat peringkat berikut:

Peringkat Pertama

Mengarahkan keinginan kepada ma'rifah dan membina kemahuan yang tinggi untuk sampai kepada Allah. Ianya akan sempurna dengan cara berikut:

1. Mengingati Allah semata-mata, melalu jalan zuhud dan tawadhu'.

2. Menundukkan sifat kebinatangan seperti nafsu syahwat dan marah. Hakikat ini akan tercapai dengan jalan memperbanyakkan puasa, mengekang nafsu syahwat dan memperbanyakkan amal ibadat serta berfikir.

3.Memperlengkap jiwa untuk menerima gambaran secara aqli. Hal ini boleh terlaksana dengan cara berfikir dan membuat kajian ilmiah yang diharuskan. Hal yang demikian itu boleh tercapai dengan latihan, mujahadah dan pimpinan Syeikh yang mursyid dan 'arif.

naqsabandiah said...

Peringkat kedua

Berusaha menjauhkan dunia sepenuhnya dari hati dari hati dengan bertajarrud, yakin kepada Allah dan kekuasaan-Nya serta berbaik sangka kepada-Nya.

Peringkat Ketiga

Memperolehi sesuatu daripada (al-Ishraaq) dan tersingkap hati untuk menerima hakikat ketuhanan (at-Tajalli). Hal ini menjadi sempurna dengan jalan berfikir tentang kejadian langit dan bumi, pertukaran siang dan malam serta selalu melakukan zikrullah dengan menghadirkan hati. Hal ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T:

Yang bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk, dan (semasa) mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
(Surah Ali-Imran: 190-191).

naqsabandiah said...

Peringkat keempat

Peringkat pembersihan hati (at-Tazkiyyah) iaitu seseorang yang 'arif itu melupakan segala-galanya termasuk dirinya sendiri, dia tidak merasai kewujudan sesuatu pun melainkan Allah. Maqam ini disebut Maqam al-'Irfan.

Semua ini tidak akan tercapai melainkan ianya mesti selari dengan prinsip-prisnsip yang dipegang oleh ahli-ahli tasawwuf dan langkah-langkah yang khusus yang membawa kepada matlamat akhir dan cita-cita yang ditentukan. Hal ini dijelaskan dalam beberapa titik perbicaraan berikut:

Tasawwuf diasaskan berdasarkan prinsip-prinsip tertentu yang perlu dipegang oleh setiap murid sehingga matlamat yang ingin dituju tercapai, prinsip-prinsip itu ialah:

i. Perjanjian
ii. Mengikut pimpinan syeikh
ii. Persaudaraan
iv.Zikir

i.Perjanjian

Perjanjian ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:

Yang bermaksud: (Ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil ia bertanya dengan firman-Nya): “Bukankah aku Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Benar (engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi. “Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.
(Surah al-A’raf: 172)

Allah S.W.T mengibaratkan bahawa Dia menuntut janji dan kesetiaan daripada manusia semenjak azali lagi. Hal ini akan menjadi hujah Allah ke atas mereka kelak. Dengan yang demikian Allah telah mensyariatkan supaya berpegang kepada janji dengan istiqamah. Malahan Allah memuji sesiapa yang menunaikan janji mereka sebagaimana firmannya:

Yang bermaksud:… dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian…
(Surah al-Baqarah: 177)

naqsabandiah said...

Kepentingan untuk menjaga perjanjian itu ditegaskan oleh Allah di dalam firman-Nya:

Yang bermaksud: Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji, dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah) sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu, sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintanya, sesudah ia memintainya kuat teguh…(Surah al-Nahl: 91-92)

naqsabandiah said...

Yang bermaksud: …dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
(Surah al-Isra’: 34)

Firman Allah S.W.T seterusnya:

Yang bermaksud: … dan sempurnakanlah perjanjian-Ku dengan kamu dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu berasa gerun takut (bukan kepada sesuatu yang lain).

Daripada ayat-ayat di atas dan beberapa ayat yang lain telah menjelaskan kepentingan melaksanakan perjanjian dalam perkara-perkara kebajikan dan kebaikan, serta kewajipan orang-orang mukmin menunaikannya sebagaimana ketaatan kepada Allah. ….

Oleh sebab itu golongan tasawwuf mengambil bberat persoalan bye’ah. Mereka berbai’ah dengan penuh iltizam dan benar-benar memelihara perjanjian serta menjaga kepentingannya. Walau bagaimanapun ianya tidaklah terkeluar daripada batas-batas syara’ malah terus iltizam melaksanakan segala kehendak syara’ dan meninggalkan segala larangan-larangannya, di samping menjaga hati mereka dengan melaksanakan penyucian jiwa, berusaha untuk membaikinya dengan berpegang teguh kepada bye’ah, dan menjadikannya antara satu wasilah untuk menghampirkan diri kepada Allah, melaksanakan ketaatan dan mujahadah.

naqsabandiah said...

i. Syeikh

Di kalangan pengamal tasawwuf, syeikh itu adalah satu keperluan yang tidak dapat dielakkan. Mereka melihat bahawa seseorang murid tidak akan dapat sampai menuju kepada Allah tanpa pembimbing. Justeru, tidak boleh tidak ianya perlu kepada seorang yang 'arif untuk menunjukkan cara-cara mengeluarkan segala was-was yang bermain di fikiran dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk sampai kepada matlamat. Syeikh beginilah yang diberikan bye'ah sehingga mewajibkan seorang sufi itu untuk beriltizam dengannya.

Seseorang murid apabila mengambil pelbagai ilmu daripada syeikh maka akan diperlihatkan kepadanya segala rahsia-rahsia tersembunyi yang bermanfaat kepada rohaninya dan membersihkan jiwanya.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa memperolehi panduan daripada kitab-kitab itu lebih baik daripada mengikut seseorang syeikh. Sebenarnya pendapat ini adalah pendapat yang keliru. Walaupun di dalam perjalanan mujahadah terhadap nafsu tanpa panduan syeikh boleh membuka pelbagai hijab, tetapi ianya tidak mungkin dapat memalingkan hatinya daripada hawa nafsu dan merasai kelazatan peningkatan rohani (at-Taraqqi) sekalipun ia istiqamah melaksanakan ibdah dan menyanggah hawa nafsu.

naqsabandiah said...

Abu 'Ali al-Thaqafi yang meninggal dunia pada tahun 328 hijriah mengatakan, "Sekiranya seseorang itu menghimpunkan seluruh ilmu dan bersahabat dengan ramai manusia, ianya tidak akan sampai kepada darjat khawwas sehinggalah dia melakukan riadhah dengan panduan syeikh, imam, muaddib atau pendidik".

Seseorang yang tidak mendapat bimbingan seorang syeikh yang menyeru membuat kebaikan dan mencegah keburukan dan memperlihatkan kepadanya segala keaiban sesuatu perbuatan dan kekotoran jiwanya, maka syeikh sebegini tidaklah boleh diikuti tentang kebenran ilmunya.

Abu 'Ali al-Daqqaq pula membuat perbandingan dengan mengatakan, "sebatang pokok yang tumbuh tanpa penjagaan daripada penanamnya, boleh tumbuh tetapi tidak boleh berbuah." Begitu juga para murid yang tidak ada syeikh yang membimbingnya secara langsung, sebenarnya telah menghambakan diri kepada hawa nafsunya dan ia tidak menemui jalan yang sebenar".

Ibnu 'Ato'illah al-Sakandari menyebut di dalam bukunya Miftah al-Falah mengatakan, "Sayugia bagi seseorang yang ingin mendapatkan bimbingan syeikh ke jalan yang benar mestilah mendapatkannya daripada seorang syeikh yang tahqiq, mahir dalam perjalanan tareqat, yang tidak terikat dengan hawa nafsu serta mantap dalam pengabdian kepada Allah. Jika zahir sifat-sifat seperti ini pada seorang syeikh maka taatilah segala perintahnya dan tinggalkanlah segala larangannya."

Banyak lagi penjelasan-penjelasan di kalangan ahli sufi berkenaan hal ini. Mereka benar-benar mengambil berat tentang syeikh dan mereka semua sepakat tentangnya.

naqsabandiah said...

Tiada Pertentangan Antara Akal dan pengambilan Syeikh

Di sana tidak berlaku pertentangan antara penggunaan akal dan pengambilan syeikh. Di dalam proses pengambilan seorang syeikh, para sufi tidak menafikan peranan akal mereka, tetapi mereka menggunakan akal untuk menghukumkan pemilihan mereka kepada seorang syeikh untuk diikuti di samping memperolehi pengajaran-pengajaran daripada syeikh tersebut. Seorang murid itu mestilah melihat dan menilai dengan akalnya yang jernih bahawa pengajaran-pengajaran syeikh itu tidak bertentangan dengan syara' serta layak untuk diikuti.

Seorang syeikh yang amanah akan memimpin tangan muridnya ke arah mematuhi perintah-perintah syara' dan sunnah Rasulullah s.a.w. Apabila akal itu tidak dapat menilai sesuatu yang baik untuk diikuti dan tidak dapat menolaj kejahatan bid'ah, khusunya bid'ah yang mendorong kepada kejahatan, maka akal tersebut adalah sesat dan menyesatkan. Patuh mengikut pimpinan seorang syeikh bukan memandang sepi ijtihad para ulama' yang baik. Tetapi syeikh itu sendiri dengan syarat-syaratnya tetap memelihara apa yang dinyatakan oleh para fuqaha' di dalam meletakkan batasan-batasan dalam memelihara agama ini daripada penyelewengan dan kesesatan.

naqsabandiah said...

Para sufi berkata, "Akal yang sihat pada tubuh yang sihat". Hal ini diperakui oleh ahli sukan, pakar pendidikan dan pakar sosiologi. Mereka memahami kesihatan tubuh badan yang sebenar ialah apabila ia terpelihara daripada penyakit-penyakit yang bersifat batin yang akan mempengaruhi seseorang itu melakukan kebatilan serta terjerumus ke dalam perkara haram dan mungkar. Akal yang lahir daripada tubuh yang sihat akan dimuliakan oleh Allah. Cenderung kepada perkara-perkara yang halal, menjauhi yang haram dan melaksanakan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Akal yang sejahtera juga akan menghalang seseorang itu daripada terjerumus ke dalam kesesatan bahkan akan memimpin tuannya kepada jalan yang selamat. Pimpinan akal yang sempurna ke arah jalan yang benar itu akan membawa kepada keredhaan Allah dengan penuh sedar. Ia akan membangkitkan azam yang tinggi dan semangat yang kuat untuk berjihad pada jalan Allah.

naqsabandiah said...

Syarat-syarat syeikh

Golongan tasawwuf tidaklah secara membuta tuli menurut kehendak syeikh. Tetapi setiap murid yang bijak hendaklah melihat kepada tanda-tanda dan alamat yang khusus dan terang dan menggunakan akalnya untuk mengenal hakikat syeikh yang sebenar.

Ibnu 'Ato'illah al-Sakandari berkata, "Janganlah kamu bersahabat dengan orang yang diri dan perkataannya tidak membantu kamu untuk menghampirkan diri kepada Allah."

Inilah garis panduan yang dijelaskan oleh Ibnu 'Ato'illah al-Sakandari tentang syeikh tareqat yang menjadi contoh tauladan dan ikutan.

Terdapat beberapa sifat syeikh yang menjadi ikutan. Ahli tasawwuf mengatakan,

"Syeikh ialah seorang yang mengamalkan tareqat melalui bimbingan seorang syeikh yang telah sampai kepada Allah. Lalu meningkat daripada maqam-maqamnya yang tertentu yang bermula daripada maqam taubat ke maqam musyahadah. Setelah dia mencapai maqam yang tertinggi, dia kembali kepada amalan syariat biasa dan membimbing manusia dengan izin Allah pintu-pintu di mana mereka akan memperolehi cahaya hakikat."

naqsabandiah said...

Kata sebahagian yang lain, "antara tanda seorang syeikh ialah dia memiliki ilmu yang benar, rasaan rohani (dhauq) yang jelas, hemat yang tinggi, perwatakan yang diredhai dan mata hati yang sentiasa terbuka (basirah)".

Pendapat yang lain ialah, "sesiapa yang mempunyai lima tanda ini maka ianya bukanlah syeikh yang sebenar iaitu, jahil tentang agama, tidak menjaga kehormatan orang Islam, melakukan sesuatu yang tidak berfaedah, berakhlak jelek dan menurut hawa nafsu."

Antara tanda-tanda lain seseorang syeikh yang berjaya ialah dia mengetahui penyakit muridnya, lalu dia mengubatinya. Al-Syazili berkata, "Siapa yang memandu kamu kepada dunia, sesungguhnya dia telah menipudaya kamu, sesiapa yang menunjukkan kepada kamu amal yang banyak, sesungguhnya dia telah memenatkan kamu, tetapi sesiapa yang membawa kamu mengenal Allah, sesungguhnya dia telah memberi kerehatan kepadamu."

Kata Abu Madyan pula, "Sesiapa yang mendakwa hampir kepada Allahtetapi tampak pada dirinya lima perkara berikut, sesungguhnya dia adalah seorang pendusta dan tidak berakal, iaitu: melakukan maksiat dengan anggota badannya, melakukan bid'ah dalam ketaatan kepada Allah, haloba dengan sesuatu yang dimiliki oleh orang lain, kurang beribadah dan tidak menjaga kehormatan umat Islam mengikut yang diperintahkan oleh Allah." Oleh itu seseorang yang bersifat sebegini mesti dijauhi.

Dipetik dari buku tulisan Syeikh Abdul Hafiz Faraghli Ali Al-Qarani, Mabdi' al-Tasawwuf al-Islami (Prinsip-Prinsip Tasawwuf Islam) terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.